
Sekurang-kurangnya tiga maut dan 12 lagi disahkan jatuh sakit setelah memakan buah tembikai wangi Australia yang dipercayai dijangkiti bakteria Listeria monocytogenes.
Bakteria ini boleh ditemui secara meluas di persekitaran dalam tanah mahupun air dan boleh mengakibatkan listeriosis yang membawa kematian kepada kumpulan berisiko tinggi seperti bayi, warga emas, wanita hamil dan individu yang lemah sistem imun. Antara simptom listeriosis adalah demam, sakit otot, loya dan cirit-birit.

Kredit: Over Sixty
Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalinkan kerjasama bersama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia bagi memantau isu ini.
Berdasarkan kepada kenyataan oleh pihak berkuasa Australia, bakteria berkenaan hanya melibatkan pencemaran kepada buah rockmelon atau tembikai wangi yang ditanam di sebuah ladang yang terletak di Nericon, New South Wales, Australia. Berita yang menggemparkan ini turut menyebabkan pihak pengusaha ladang bertindak menghentikan pengeluarannya pada 23 Februari 2018.
Di samping itu, pihak Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia turut memaklumkan bahawa buah tembikai wangi yang dieksport dari Australia selepas tarikh 1 Mac 2018 adalah selamat untuk dimakan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya turut berjaya mengenalpasti pengimport yang mengimport buah tembikai wangi dari ladang tersebut sebelum 1 Mac 2018 dan telah menyita kesemua produk buah-buahan tersebut bagi menjalankan ujian analisis untuk mengenalpasti sama ada produk berkenaan tercemar dengan bakteria Listeria monocytogenes atau tidak.
Sehingga kini, tiada sebarang laporan mengenai isu listeriosis dilaporkan berlaku kepada rakyat Malaysia.
Mana-mana pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya perlu mengambil tanggungjawab besar dalam memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi Akta Makanan 1983.
Sekiranya disabitkan dengan kesalahan mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan dan memudaratkan kesihatan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara kurang daripada 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambah Noor Hisham lagi, pihak KKM sentiasa mengambil berat akan perkara yang boleh memberi ancaman kepada kesihatan pengguna.
Jika mempunyai sebarang kemusykilan berkenaan isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri berdekatan atau melalui laman sesawang.
Sumber: kpkesihatan.com